Oleh Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com
RAMAI mengakui untuk mencari pekerjaan selepas tamat pengajian bukanlah satu perkara mudah sebaliknya memerlukan usaha lebih bagi memastikan diri dapat ‘dipasarkan’ kepada majikan.
Bagi yang menunggu jawapan daripada majikan hingga beberapa tahun lamanya, mereka akan mencuba apa saja alternatif di depan mata asalkan mendapat pekerjaan.
Misalnya, agensi mencari pekerjaan yang semakin banyak di negara ini dapat membantu graduan mendapat kerja bersesuaian.
Sebagai ‘orang tengah’, agensi pekerjaan bertindak menghubungkan pencari kerja dengan majikan yang ingin mengisi jawatan kosong di syarikat mereka.
Lebih mudah lagi, pencari kerja boleh memburu pelbagai jenis pekerjaan mengikut bidang masing-masing menerusi laman web seperti Jobstreet.com, Jenjobs.com, Bestjobs.com atau JobsDB.com.
Kebiasaannya, pencari pekerjaan akan diminta menghantar resume mereka ke agensi dan ia akan disimpan supaya boleh dijadikan rujukan oleh agensi dan majikan dalam usaha mencari pekerja yang sesuai untuk mereka melalui proses temu duga.
Namun, pada masa sama pencari kerja perlu berhati-hati dengan mengetahui latar belakang dan jenis perkhidmatan yang ditawarkan agensi berkenaan bagi mengelakkan diambil kesempatan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
Ini kerana, kes penipuan oleh agensi pekerjaan sering dilaporkan dan mereka yang menjadi mangsa bukan saja terdiri daripada graduan malah suri rumah juga terpedaya dengan tawaran kerja yang dijanjikan.
Kejadian seumpama itu bukan hanya berlaku sekali dua, tetapi secara berterusan menyebabkan mereka yang benar-benar menaruh harapan untuk mendapatkan pekerjaan mengalami kerugian apabila diminta membayar pada harga tertentu bagi ‘perkhidmatan’ ditawarkan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar sebelum ini dilaporkan berkata, agensi mencari pekerjaan yang sah di negara ini hanya mengenakan yuran RM10 kepada graduan dan penganggur yang ingin bekerja di firma tempatan manakala RM20 dikenakan kepada mereka yang berminat bekerja di luar negara.
Beliau berkata, caj itu paling murah berbanding yuran RM138, RM129, RM96 atau RM88 yang dikenakan agensi bukan saja tidak diiktiraf, malah pintar menabur janji dan melakukan tipu helah kononnya membantu mendapatkan kerja.
Katanya, graduan dan penganggur yang mencari kerja menggunakan khidmat agensi, perlu memeriksa sama ada agensi berkenaan diiktiraf kerajaan.
“Saya menasihatkan pencari kerja perlu meminta agensi terbabit menunjukkan sijil atau lesen Agensi Pekerjaan Swasta yang dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia.
“Ini kerana lesen dikeluarkan kementerian mempunyai nombor siri bagi mengelak penipuan,†katanya.
TIP
– SEBAGAI alternatif kepada pencari kerja, agensi mencari pekerjaan yang semakin banyak di negara ini dapat membantu graduan mendapat kerja bersesuaian.
– SEBAGAI ‘orang tengah’, agensi pekerjaan bertindak menghubungkan pencari kerja dengan majikan yang ingin mengisi jawatan kosong di syarikat mereka.
– LEBIH mudah lagi, pencari kerja boleh memburu pelbagai jenis pekerjaan mengikut bidang masing-masing menerusi laman web seperti Jobstreet.com, Jenjobs.com, Bestjobs.com atau JobsDB.com.
– PADA masa sama pencari kerja perlu berhati-hati dengan mengetahui latar belakang dan jenis perkhidmatan yang ditawarkan agensi berkenaan bagi mengelakkan diambil kesempatan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
– INI kerana kes penipuan oleh agensi pekerjaan sering dilaporkan dan mereka yang menjadi mangsa bukan saja terdiri daripada graduan malah suri rumah juga terpedaya dengan tawaran kerja yang dijanjikan.