Seorang penulis yang menulis artikel yang baik akan memberikan impak yang positif kepada pembaca. Kali ini saya akan membuat sambungan bagi cara menulis artikel yang baik. Anda boleh klik part 1 dan part 2 agar tidak ketinggalan tips menulis artikel sebelumnya.
Sekarang mari ikuti cara menulis artikel bahagian ke-3 pula.
TIPS MENULIS ARTIKEL #4: Isi Kandungan Artikel
Selepas anda memberi penekanan terhadap tajuk artikel, perkara kedua yang penting dalam penulisan artikel adalah isi kandungan. Di sinilah terletaknya ‘content is king’ itu. Pada pendapat saya, sebanyak 90% pembaca akan membaca artikel anda yang lain jika isi artikel pertama yang dibaca sangat membantu dan bermutu. Oleh itu, tulislah isi artikel anda dengan penuh berinformasi dan bersahaja.
Pecahkan isi artikel anda kepada TIGA bahagian:
1. Perenggan pengenalan topik – Pada perenggan ini, anda perkenalkan topik yang ingin disampaikan. Jika terdapat pengertian yang perlu dimasukkan, berikan pengertian tersebut di sini.
2. Perenggan sokongan topik – Untuk perenggan ini, berikan isi tersirat bagi menyokong ayat anda pada perenggan pengenalan.
3. Perenggan kesimpulan topik – Akhir sekali, rumuskan topik yang anda tuliskan. Nyatakan sama ada topik yang disampaikan bagus atau berjaya atau gagal dan lain-lain.
Isi artikel haruslah relevan dengan tajuk artikel anda. Isi artikel juga mestilah memberi jawapan kepada tajuk artikel yang diberi. Jika artikel anda bertajuk ‘Cara Mudah Buat Duit Di Internet’, anda harus senaraikan sebanyak mungkin cara buat di internet itu. Manakala, jika artikel anda bertajuk ‘Lima Cara Mudah Duit Di internet’, anda sepatutnya berikan lima idea sahaja cara buat duit itu. Jawab tajuk artikel supaya tujuan anda tidak tersasar dan penulisan anda juga tidak terpesong.
Sekiranya tajuk anda menjanjikan sesuatu yang mudah seperti contoh di atas, berikan cara mudah sahaja. Jangan diterangkan atau sebutkan cara kompleks dan sukar dalam artikel anda. Jika anda berikan juga cara kompleks dan sukar itu:
Pertama: Anda sudah tersasar dari tajuk artikel dan penulisan anda sudah tidak berfokus lagi.
Kedua: Pada masa akan datang, pembaca tidak akan merujuk artikel anda lagi berkaitan perkara yang dibincangkan. Mereka mungkin akan menganggap anda penipu. Ini kerana, anda tidak tunaikan janji berdasarkan tajuk artikel yang diberikan.
Dalam penulisan artikel juga, tulislah seolah-olah anda sedang bercakap. Bayangkan anda sedang memberi ceramah atau ucapan di depan orang ramai, kemudian terjemahkan percakapan anda dalam bentuk tulisan. Biarkan isi artikel yang bercakap untuk anda. Untuk menulis sebegini dengan efektif, sila rujuk tip kelapan yang terdapat dalam siri artikel ini.
Walaupun anda menulis mengikut percakapan yang dilontarkan, jangan dilupakan hal-hal remeh berkaitan tatabahasa. Saya tahu, anda ingin bercakap melalui artikel yang ditulis. Tetapi, janganlah terlalu ghairah sehingga merosakkan pula tatabahasa. Jangan dikusutkan pemikiran pembaca dengan mengabaikan tatabahasa. Oleh itu, jagalah tatabahasa dalam penulisan. Kredibiliti anda sebagai penulis pasti akan diangkat oleh para pembaca jika anda menjaga tatabahasa dalam penulisan.
TIPS MENULIS ARTIKEL #5: Koheren & Kohesi Artikel
Adakah anda masih ingat berkenaan koheren dan kohesi yang dipelajari ketika berada di bangku sekolah dahulu? Jika anda sudah lupakan topik ini, anda perlu ingatkannya kembali kerana tip kelima ini diperlukan dalam membuat penyeragaman isi artikel.
Apakah koheren? Koheren bermaksud wujud kesinambungan antara satu ayat dengan ayat yang lain dalam sesebuah artikel supaya mudah difahami (dipetik dari Kamus Dewan Edisi Ketiga).
Apakah pula kohesi? Kohesi bermaksud wujud kekuatan atau kaitan melalui tarikan di antara satu ayat dengan ayat yang lain supaya bergabung (dipetik dari Kamus Dewan Edisi Ketiga).
[[Ketahui RAHSIA menukarkan artikel kepada produk digital @ ebook yang menguntungkan]]
Jika digabungkan kedua-duanya: Koheren dan kohesi dalam penulisan artikel bermaksud kesemua idea dalam setiap tulisan menyokong antara satu sama lain dan melaluinya akan memudahkan lagi pembaca untuk lebih faham tentang sesuatu perkara. Jika koheren dan kohesi tidak diaplikasikan, sudah tentu tulisan anda akan berterabur dan sukar untuk difahami oleh pembaca. Kesannya, kredibiliti anda sebagai penulis akan sedikit tercalar. Tentu anda tidak mahu perkara ini berlaku bukan?
Untuk menulis dengan koheren dan kohesi, anda perlu membuat draf artikel terlebih dahulu. Saya mewujudkan koheren dan kohesi ini dengan membuat peta minda. Saya akan susun isi artikel mengikut turutan dan kembangkannya sedikit demi sedikit, supaya tulisan saya nanti lebih kemas dan teratur.
Caranya mudah sahaja, anda cuma perlu berbuat seperti ini:
1. Jika tajuk artikel anda bertajuk ’10 Kaedah Paling Efektif Buat Duit’, amalkan penggunaan perkatan pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.
2. Jika artikel anda mempunyai contoh-contoh yang ingin digunakan, gunakanlah perkataan seperti contohnya, tambahan pula, contoh lain adalah, dan juga, dan lain-lain yang dirasakan sesuai.
Rujuk sahaja siri artikel ini. Saya membina peta minda yang penuh dahulu kemudian baru saya tulis dengan lengkap. Mengapa saya pilih peta minda sebagai medium untuk koheren dan kohesi? Sudah tentu disebabkan saya dapat jimatkan masa untuk menulis, ayat saya lebih tersusun dan objektif utama untuk siri artikel ini tidak tersasar.
Oleh itu, ciptalah koheren dan kohesi dalam penulisan anda. Juga, apabila pembaca mudah faham perkara yang anda cuba sampaikan, mereka pasti kagum dengan tulisan anda. Percayalah!
Jangan lupa untuk ikuti bahagian keempat cara menulis artikel yang baik pada posting yang akan datang.
Masih lagi belajar untuk menulis artikel dengan baik. Kena banyak praktis lagi ni. Kurang2 info ni boleh bantu 🙂